ADUN janji masalah banjir akan diselesaikan

Sinar Harian,24 Julai 08, Khamis – Masalah banjir yang telah sekian lama dihadapi oleh masyarakat di daerah ini akan diselesaikan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Y.B Dato’ Dr Hasan Mohd Ali berkata, sebagai wakil rakyat di sini beliau mahu memberikan keutamaan untuk menyelesaikan masalah ini yang telah sekian lama berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia. Menurutnya, perkara utama yang akan dijalankan ialah dengan melakukan penebatan banjir di kawasan yang telah berpuluh-puluh tahun dilanda banjir seperti Taman Greenwood dan Taman Gombak bermula 1 Ogos ini.

“Satu mesyuarat khas telah pun diadakan bersama penduduk kampung dan agensi-agensi utama termasuklah Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Pengairan dan Saliran  (JPS),  dan Pejabat Daerah Gombak yang memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah khususnya di DUN  ini, ” katanya.

Katanya, perancangan mengenai penebatan banjir di kawasan Batu 6 Gombak hingga Batu 12 Gombak telah dipilih untuk dijalankan tidak lama lagi dan pertemuan yang diadakan adalah untuk mengemukakan masalah, kemudian disiasat dan seterusnya diambil tindakan.

Ibubapa Sakinah, Remaja Cerah Minda

Gombak Setia, 19 Julai 2008, Ahad – Bertemakan “Ibubapa Keluarga Sakinah, Remaja Celik Hati Cerah Minda”, satu program motivasi keluarga dan remaja anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Adun Gombak Setia dengan kerjasama Zon Gombak Setia telah diadakan pada 18 & 19 Julai 08, ( Sabtu & Ahad ) bertempat di Dewan Anjung Rahmat, Batu 6. Program selama 2 hari ini telah mendapat sambutan yang baik samada dari kalangan ibubapa begitu juga dari kalangan anak-anak remaja. Ia telah melibatkan seramai 82 penyertaan dari kalangan ibubapa manakala seramai 143 orang para remaja telah menyertai program ini. Majlis perasmian Program motivasi keluarga & remaja ini telah disempurnakan oleh Y.B Dato’ Dr Hasan Mohd Ali sendiri yang mana beliau selaku Adun Gombak Setia. Program turut diserikan lagi dengan kehadiran Y.B Azmin Ali, Ahli Parlimen Gombak yang hadir merasmikan majlis penutup program motivasi keluarga dan remaja ini.

Ziarah Medik anjuran Dun Gombak Setia

Greenwood, 18 Julai 2008,Sabtu – Adun Gombak Setia, Y.B Dato’ Dr Hasan Mohd Ali sempat meluangkan masa untuk menziarah beberapa orang warga emas di sekitar Taman Greenwod yang kurang bernasib baik dan kurang upaya dalam program Ziarah Medik anjuran Pusat Khidmat Masyarakat dengan kerjasama HALWA Dun Gombak Setia yang telah diadakan pada 18 Julai 2008, Sabtu. Turut hadir ialah Puan Rosydiah Ahmad, Pengarah program Ziarah Medik.