Sembilan formula PAS Selangor pastikan urus tadbir kerajaan negeri berkesan

SHAH ALAM, 14 Mac (Hrkh) – Dalam memastikan urustadbir kerajaan Negeri Selangor lebih mantab dan berkesan PAS Selangor akan mengambil sembilan langkah bagi tujuan tersebut, kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali.

Menurutnya, langkah pertama semua exco, ahli Parlimen dan Adun diwajibkan membuat perisytiharan harta dalam masa terdekat.

Selain itu ahli Exco akan hanya menggunakan kereta yang sedia ada sahaja, dan tidak ada kereta baru yang akan diberi kepada mereka, katanya.

Ketiga, toidak ada kerja-kerja pembaikpulihan besar dan membazir terhadap pejabat atau kediaman yang diperuntukan kepada ahli Exco, katanya.

Seterusnya ahli Exco juga dilarang daripada terbabit dengan sebarang perniagaan, katanya.

“Majlis ambutan kemenangan yang melibatkan Exco, ahli Parlimen dan Adun PAS hendaklah dibiayai dengan wang sendiri tanpa libatkan peruntukan wang awam, atau kerajaan negeri,” ujar Dr Hasan dalam sidang medianya di Pejabat Perhubungan PAS Selangor dekat Pusat Perniagaan Worldwide dekat sini hari ini.

Kesemua ahli Parlimen dan Adun PAS juga diminta agar memberi khidmat kepada semua rakyat tidak mengira kaum mahupun agama, katanya.

Semua Dun dan Parlimen yang dimenangi PAS atau tidak hendaklah menubuhkan Pusat Khidmat Masyarakat yang akan memberi khitmad secara adil kepada semua kaum di negeri ini, ujarnya.

PAS Selangor juga melafazkan taat setia kepada DYMM Sultan Selangor serta mempertahankan kedaulatan Baginda Sultan dalam apa jua keadaan sekalipun, ujar Dr Hassan.

Sementara itu mengulas mengenai isu pelantikan Timbalan Menteri Besar Selangor Dr Hasan menegaskan beliau tidak mahu memberi ulasan sebaliknya menyerahkan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk memilihnya.

Beliau juga enggan mendedahkan nama-nama Exco yang akan dilantik di kalangan Adun PAS, dan hanya berkata bahawa masanya belum tiba untuk diumumkan.

“Senarai sudah ada tetapi biarlah ia tidak diumumkan buat sementara,” ujarnya.

Apa yang penting katanya ialah memberi khidmat kepada pengundi, dan untuk itu PAS Selangor mengucapkan sekalung penghargaan kepada pengundi yang telah memilih PAS dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Advertisements

PAS Selangor sokong sepenuhnya pelantikan Khalid sebagai MB baru – Dr Hasan Ali

SHAH ALAM, 14 Mac (Hrkh) – PAS Selangor menyokong sepenuhnya pelantikan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, kata Pesuruhjaya PAS Negeri, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media khas di Pejabat Perhubungan PAS Selangor di Pusat Perniagaan Worldwide di Shah Alam hari ini.

Turut serta ialah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ir Khalid Samad, Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip, Adun-adun PAS Selangor, ahli Parlimen termasuk Dr Siti Mariah Mahmood (Kota Raja).

Mengulas lanjut Dr Hasan Ali berkata, PAS Selangor berikrar dan berazam untuk memberikan kerjasama kepada Khalid bagi membolehkan pentadbiran negeri berjalan lancar dan rancak di bawah pimpinan beliau.

“PAS Selangor menegaskan kami akan sentiasa memberikan dokongan yang tidak berbelah bagi terhadap pakatan KeADILan, DAP dan PAS dalam membentuk kerajaan bagi mentadbir negeri,” ujarnya.

PAS Selangor juga akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pakatan ini terus stabil dan mantap bagi menjana kecemerlangan pentadbiran kerajaan BA Selangor, kata Dr Hasan.

Selain itu Dr Hasan turut menyeru semua ahli PAS supaya bertindak mengikut proses undang-undang dan tiada sebarang kerja merampas, ambil alih kuasa atau pecat mana-mana pihak yang berlainan pegangan politik.

Semua ahli katanya diminta untuk bersabar, bertenang serta bertindak dengan penuh hikmah.

PAS Selangor juga bersetia akan melaksanakan program-program berkebajikan sesuai dengan tawaran BA dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, katanya.

Untuk itu katanya, sebagai Pesuruhjaya beliau akan mengarahkan ahli Exco dan Adun PAS memotong sejumlah 30 peratus elaun asas mereka setiap bulan bagi membantu golongan berpendapatan rendah di sini.

Pandangan Untuk YB

Assalamualaikum,

Pertama: Saya mengucapkan tahniah kepada YB Dato’ Hasan kerana berjaya memperolehi mandat majoriti penduduk Gombak Setia. Saya berharap YB dapat membawa perubahan yang positif di kawasan ini.

Kedua: Saya harap YB dapat menjalankan tugas dengan telus agar aspirasi penduduk Gombak Setia tercapai – insyaallah.

Ketiga: Saya berdoa agar YB senentiasa peka dan responsif tentang kehendak dan keperluan penduduk Gombak. Ini adalah amat penting bagi YB dan parti politik YB (iaitu PAS) jika YB dan parti YB ingin bertapak lama di Gombak Setia. Saluran komunikasi di antara YB dan penduduk harus sentiasa terbuka agar keperluan penduduk sentiasa di dalam minda YB semasa YB menjalankan tugas.

Keempat: Jangan ulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh pemerintah-pemerintah BN terdahulu!!

Kelima: Sudah tiba masanya untuk YB bertugas dan memfokus kepada kawasan Gombak Setia dan apa-apa masalah penduduk yang timbul dari masa ke semasa.

Keenam: Sediakan suatu pelantar asas (basic platform) bagi memudahkan komunikasi di antara kami (penduduk) dan pejabat YB (ADUN) agar tidak wujud apa-apa perselisihan (miscommunication) di antara kita.

Ketujuh: Saya berharap YB dapat mengambil peluang yang sedia ada (melalui jalur internet) bagi memudahkan perhubungan. Contoh: Sediakan suatu laman web rasmi bagi pejabat ADUN Gombak Setia khusus bagi menyampaikan maklumat dan atau untuk menerima apa-apa pandangan dan kritikan dari penduduk Gombak Setia.

Suatu Pandangan:

Saya telah melawat laman web PAS Selangor dan menghantar mesej e-mel kepada mereka dan bertanya bagaimana hendak menghubungi YB Dato’ Hasan Ali. Ini telah saya lakukan pada 10.3.2008.

Namun itu, sehinggan petang 11.8.2008 saya masih belum mendapat apa-apa maklum-balas dari PAS Selangor.

Mujurlah saya terjumpa blog ini melalui carian google sebentar tadi.

PAS dan YB harus lebih peka dan proaktif di dalam mengembangkan dan memperbaiki saluran komunikasi melalui internet.

PAS dan YB harus ingat bahawa perubahan mendadak atau “political tsunami” yang telah berlaku, sedikit-sebanyak, adalah disebabkan oleh ledakan informasi melalui internet.

Justeru itu, gunakan internet ini dengan lebih berkesan di dalam pentadbiran Gombak Setia.

Sekian Wassallam,

Azhar Arman Ali
113, Lorong Bahagia, Gombak Setia
azhararmanali@gmail.com