Tan Sri Khalid Angkat Sumpah MB Selangor

Berita Dari Harakah Daily

Intan Abdullah
Thu | Mar 13, 08 | 12:22:25 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 MAC (Hrkh) – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj akan memperkenankan pelantikan Menteri Besar Selangor baru, Tan Sri Khalid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) selepas menemui semua pemimpin parti DAP, PAS dan KeADILan yang berjaya membentuk kerajaan campuran. Majlis angkat sumpah Menteri Besar serta barisan exco akan dijalankan pada jam 3 petang ini di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.Salah seorang nama yang disebut-sebut sebagai Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Hasan Ali berkata majlis tersebut dijangka akan diadakan pada masa dan tempat yang telah ditetapkan, manakala komposisi pembahagian exco akan diumumkan nanti.Terdahulu sebelum ini, Sultan Selangor yang dimaklumkan melalui setiausaha sulitnya, Dato’ Lela Bakti meminta wakil parti PAS dan DAP agar datang menghadap secara berasingan pada 11 Mac selepas pertemuan dengan Khalid sehari sebelumnya.

Berikutan pencapaian memberangsangkan KeADILan dengan 15 kerusi, DAP 13 kerusi dan PAS 8 kerusi, pakatan tersebut berjaya membentuk kerajaan baru setelah berjaya menumbangkan kerajaan Umno-BN pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu./wann

Advertisements