Bermulanya Sejarah Dan Lembaran Baru Buat Selangor

                                             

                                             

Takbir! Takbir! Takbir!

Begitulah laungan yang kedengaran apabila setiap kali Bilik Gerakan MTD Gombak Setia mendapat keputusan yang di’sms’ oleh Ketua Agen Undian & Pengiraan (PACA) mengenai keputusan setiap saluran peti undi. Raut wajah yang berseri-seri  seolah-olah segala kepenatan, keletihan dan rasa mengantuk kerana tidur lewat tidak pernah wujud!

Rasa kesyukuran yang amat sangat juga terpancar di wajah setiap petugas serta jentera pilihanraya Dewan Undangan Negeri Gombak Setia. Semangat kental serta ketahanan diri yang ditunjukkan oleh setiap individu tanpa sebarang ‘bayaran’  sangat menakjubkan demi kemenangan Islam. Kegembiraan ini bukan sahaja setakat kemenangan di DUN Gombak Setia malahan ‘SELURUH’ DUN di bawah Parlimen Gombak mencapai kemenangan termasuklah calon Parlimen!

Bermulalah satu episod sejarah dalam negara kita dan kita sama-sama berada dalam kotak sejarah itu menyaksikannya. Kemudian ianya ditambahkan lagi dengan kemenangan menawan SELANGOR, PULAU PINANG, KEDAH, PERAK, KELANTAN dan WILAYAH PERSEKUTUAN Kuala Lumpur!

Tiada apa yang dapat diperkatakan selain dari KESYUKURAN terhadap ILLAHI dan sesungguhnya kemenangan ini adalah satu anugerah yang wajib dijaga dengan penuh tanggungjawab. Ianya juga merupakan satu ujian bagi semua pihak agar tidak lupa diri dan sentiasa berpijak dibumi yang nyata!

Ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang dipilih rakyat perlu sentiasa INGAT bahawa suara rakyat adalah suara keramat yang perlu dijaga dan ditatang dengan penuh tanggungjawab. Janji-janji anda perlu dikota dan yang paling penting anda tidak lupa diri dan sentiasa INGAT pada ILLAHI!

BERTAMBAH MAJU SELANGOR BARU! INSYAALLAH…